Islamic Widget

Tuesday, October 29, 2013

Simfoni Nasheed Group

Sejarah Penubuhan :-

Kumpulan nasyid SIMFONI telah ditubuhkan pada Julai 2009, hasil gabungan vokalis dari kumpulan-kumpulan nasyid sekolah agama di negeri Kedah yang pernah menjuarai beberapa Pertandingan Nasyid Peringkat Sekolah Menengah dan Kebangsaan sekitar tahun 2005-2007 iaitu Maktab Mahmud Alor Setar, Maktab Mahmud Pokok Sena, Sekolah Menengah Agama Kedah dan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum. Kini kumpulan ini dianggotai oleh 5 orang anak muda iaitu Imtiaz Ikrimal, Muhammad Hazran, Ahmad Ifham, Mohamad Anas dan Firdaus Naim. Alhamdulillah Simfoni sudah merakamkan Album Sulung yang telah berada di pasaran sekitar Semtember 2012. Lagu-lagu dalam album ini adalah hasil karya anggota Simfoni sendiri iaitu Saudara Imtiaz. Sekarang Simfoni merupakan artis rakaman UNIC Records Sdn. Bhd. 


Poster pertama Simfoni

Like Page Facebook : Simfoni Nasheed Group

Simfoni dari kiri : Hazran, Firdaus, Imtiaz, Ifham, Anas

Caller Ringtone Simfoni
Like : Facebook Simfoni Nasheed Group
Kumpulan Nasyid Remaja Terbitan UNIC Records. Untuk Sebarang Undangan, hubungi En. Fitri atau emel ke simfoninasheedpro@gmail.com 

Sunday, October 20, 2013

Cara settings > basic Blog

Bagi mereka yang masih baru menggunakan 'blogspot' dan belum mengetahui cara untuk menggunakan settings > basic, ikuti langkah yang akan saya terangkan. Terdapat beberapa setting yang perlu dilakukan supaya blog kita dapat dikesan di laman pencarian seperti Google, Msn, Yahoo dan lain-lain yang berkaitan. Masih belum mengetahui apa yang perlu dilakukan di setting? berikut adalah langkah-langkah asas : 


1. ) Login blogspot anda terlebih dahulu. Setelah username dan kata laluan di masukkan akan terus terpapar halaman 'dashboard' blog anda. Kemudian cari dan klik pada button gambar kertas disebelah icon pensil yang berwarna oren. 





2. ) Setelah menekan button tersebut, akan terpapar pilihan seperti overview, posts, pages, comments, google+, stats, layout, template dan settings. Klik pada "settings". 




3. ) Apabila klik pada settings, terkandung beberapa ruangan yang perlu anda isikan untuk melengkapkan maklumat blog anda. Pada ruangan Basic, isikan title atau nama tajuk bagi blog anda dengan menekan hyperlink edit, contoh tajuk : Pelangi Cinta .Seterusnya adalah description, masukkan description untuk menceritakan secara ringkas mengenai blog anda, dan yang terakhir privacy , pilih yes pada "add your blog to our listings" agar segala post kita akan masuk ke dalam daftar blogger.com dan pilih juga yes pada "lets search engines find your blog" supaya blog anda akan di paparkan kepada si pencari maklumat.



 4. ) Pada menu Publishing, anda boleh meletakkan alamat blog anda untuk pencarian. Anda disarankan meletakkan alamat blog yang mudah ditulis dan bebas memasukkan apa-apa alamat blog anda mengikut keselesaan. Blog yang mudah ditulis dan pendek lebih disukai pengguna kerana senang untuk diingati.  Semua alamat blog anda akan di sambung dengan 'blogspot.com' . Contohnya : pi2ipda.blogspot.com . Klik save setting setelah selesai memasukkan "blog address". 



5. ) Di bahagian Permission pula, anda boleh memilih admin untuk blog anda untuk bersama-sama membantu mengendalikan blog ini. Semua admin mestilah juga seorang blogger iaitu mereka juga perlu mempunyai blog masing-masing. Untuk memasukkan authors, klik pada "add authors" dan masukkan emel rakan anda yang anda kehendaki atau buat carian pada kenalan yang terdapat di dalam blog anda. Setelah itu, anda boleh memilih samaada untuk kekal menjadikan rakan anda sebagai admin/authors atau tidak. Untuk pengetahuan anda, anda berkuasa untuk menarik balik hak admin/authors bila-bila masa jika dikehendaki. Klik save untuk menyimpan segala perubahan yang telah anda lakukan. 


Sekian sahaja manual pengendalian Settings > basic. Selamat mencuba. 


Exam, Peperiksaan, Imtihan

Maksud Firman Allah s.w.t : 


8t»t6s? Ï%©!$# ÍnÏuÎ/ à7ù=ßJø9$# uqèdur 4n?tã Èe@ä. &äóÓx« 퍃Ïs% ÇÊÈ Ï%©!$# t,n=y{ |NöqyJø9$# no4quptø:$#ur öNä.uqè=ö7uÏ9 ö/ä3ƒr& ß`|¡ômr& WxuKtã 4 uqèdur âƒÍyèø9$# âqàÿtóø9$# ÇËÈ


1.  Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan dia Maha Kuasa atas segala sesuatu,
2.  Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
                                                                                                                        ( Al-Mulk : 1-2 )

Sabda Nabi Muhammad SAW :
“ Sesiapa yang mengembara untuk belajar sesuatu ilmu, akan diampunkan dosa baginya sebelum dia melangkah .. “ – Hadis Riwayat as-Syirazi




Sunday, October 6, 2013

Pengalaman Berasaskan Sekolah IPG

Gambar-gambar sepanjang Program School Based Experience sem 1 - 4



              Pengalaman Berasaskan Sekolah ( PBS ) merupakan satu program wajib bagi pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini dilaksanakan bagi setiap semester sehingga semester empat bagi pelajar-pelajar IPG. Program PBS ini bertujuan untuk memberi kefahaman awal kepada pelajar tentang alam persekolahan dari perspektif seorang guru. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah. Melalui PBS pelatih dapat memahami pengurusan sekolah dan pengurusan bilik darjah dan tingkah laku murid untuk menyatupadukan teori dan amalan dalam konteks pengajaran pembelajaran. Ringkasnya dengan menjalani program PBS, pelajar akan lebih memahami bagaimana guru mengajar, bagaimana murid belajar dan bagaimana pengurusan sekolah mentadbir sesebuah sekolah tersebut.

SK Kuala Tutoh, Miri, Sarawak (Pedalaman 1 )

SK Kampung Sireh, Kelantan (Bandar)

SK Bandar Baru Darulaman, Jitra, Kedah (Sekolah Cemerlang)

SK Convent Cameron Highland, Pahang (Sekolah Berprestij Tinggi 2013) 


Monday, July 29, 2013

Iltizam @ Festival Ramadhan


Kumpulan Nasyid Iltizam IPG Kampus Darulaman ini masih baru dalam industri nasyid dan dibarisi oleh bakal-bakal guru serta mempunyai keahlian seramai 15 orang termasuk pemain perkusi. Pada bulan Ramadhan kali ini, Iltizam berhasrat menyertai pertandingan nasyid anjuran Jabatan Kebudayaan Negara yang bertempat di Panggung Bandaraya, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur setelah sekian lama menyepi diri dan sibuk dengan kerja masing-masing. Hasrat ini telah disambut baik oleh semua ahli dengan harapan untuk mencari pengalaman dan tidak 'target' untuk menang. 


Bergambar kenangan setelah diumum layak ke semi-final

Apa yang lebih menarik, pengalaman kali ini membawa 1001 makna apabila setiap ahli perlu bergerak untuk mencari dana. Keseluruhan dana ini akan digunakan untuk membuat sewaan kenderaan, kos perjalanan, minyak kereta dan lain yang berkaitan sepanjang tempoh di sana nanti. Alhamdulillah berkat kesungguhan semua, kumpulan ini berjaya memperoleh dana diluar jangkaan serta banyak mendapat sokongan dan dorongan positif oleh para pensyarah IPDA. 


Iltizam dan pengurus pada hari semi-final.
Setelah dua peringkat, iaitu  peringkat saringan yang melibatkan 24 kumpulan nasyid lelaki terdiri dari pelbagai jenis latar belakang seperti dari Universiti Malaya, Agensi Anti Dadah, Rapid KL dan lain-lain kumpulan serta peringkat semi-final pada seminggu setelah saringan akhirnya Iltizam akur pada rezeki yang telah ditentukan. Iltizam tidak berpeluang mara ke peringkat akhir. Tidak dapat dinafikan semua kumpulan yang layak ke final adalah terdiri dari kumpulan-kumpulan yang jauh lebih hebat dan mantap dari segi susun atur muzik dan vokal. Tahniah diucapkan!
Apa pun kami tetap bersyukur kepada Allah yang telah memberi ruang dan peluang untuk sama-sama menimba ilmu ini sepertimana yang kami hasratkan pada awal penyertaan. 


Wednesday, April 10, 2013

PIM 3106 : Kewafatan Datuk Rasulullah


     Abdul Muttalib ialah cicit kepada Qusai bin Kilab, tokoh Quraisy pertama mengawal dan menguasai Makkah, dan nasab keturunan Abdul Muttalib adalah seperti berikut Abdul Muttalib bin Hashim bin Abi Manaf bin Qusai bin Kilab. Nama sebenar Abdul Muttalib ialah Shaybah (uban), kerana rambut putih yang terdapat pada kepalanya. Beliau merupakan pemimpin dan ketua kaum Quraisy yang dihormati dan disegani oleh masyarakat Arab, kerana iltizamnya dalam menjalankan tugas dengan adil, di samping keperibadiaanya yang terpuji.


     Abdul Muttalib tidak terlibat dengan amalan menyembah berhala, sekalipun amalan itu sudah meluas dilakukan oleh masyarakat Arab di Makkah, yang terdiri dari berbagai suku kaum dan kabilah termasuk kaum Quraisy sendiri. Abdul Muttalib mempunyai anak seramai 16 orang iaitu anak lelaki seramai 10 orang sementara anak perempuannya ialah 6 orang. Anak lelaki Abdul Muttalib terdiri dari Hamzah, Al-Abbas, Abu Talib, Al-Zubair, Al-Maqwa, Dhirar, Hajl, Abu Lahab, al-Harith dan Abdullah iaitu ayahanda Rasulullah SAW. Anak perempuannya ialah Atikah, Umaimah, al-Baidha’ Birrah, Sofiah dan Arwa.

     Antara peristiwa yang terpenting yang berlaku kepada Abdul Muttalib ialah dua peristiwa iaitu menggali telaga Zamzam dan peristiwa serangan tentera bergajah. Ringkasan peristiwa pertama, sewaktu kaum Jurhum meninggalkan Makkah akibat tertewas dalam satu rebutan kuasa, mereka menimbus Telaga Zamzam supaya kaum Khuzaah yang mengambil alih kuasa tidak mengetahui wujudnya sumber air di situ. Sesudah lama tertimbus, Abdul Mutallib mengetahui letaknya telaga Zamzam dan berjaya menggalinya semula natijah dari sebuah mimpi yang dialaminya.

     Semasa menggali semula Telaga Zamzam itu, Abdul Muttalib membuat nazar iaitu sekiranya beliau dikurniakan 10 orang anak lelaki yang taat setia membantunya kelak, salah seorang daripada anaknya itu akan dikorbankan sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran. Dengan takdir Allah, Abdul Muttalib dikurniakan 10 orang anak lelaki kemudiannya maka beliau terwajib menyempurnakan nazar itu. Beliau memanggil kesepuluh anak lelakinya, dan memaklumkan mengenai tindakan yang harus dilakukan iaitu memilih salah seorang dari mereka untuk dikorbankan, sebagai memenuhi tanggungjawab menyempurnakan nazarnya.

     Memahami beban yang ditanggung oleh ayah mereka maka anak-anak itu akur dan bersedia supaya salah seorang dari mereka dikorbankan. Abdul Muttalib menemui seorang pengawal Kaabah, yang di dalamnya terdapat berhala Hubal, dan dinasihatkan supaya undian secara kidah dilakukan. Sepuluh anak panah disediakan dengan setiap satunya tertulis nama anak lelakinya itu untuk diundi.

     Lalu ditulislah nama-nama mereka pada anak panah dan diberikan kepada penjaga berhala Hubal. Nama yang terkeluar dari undian itu merupakan penentuan anak yang harus dikorbankan. Apabila undi dijalankan, nama Abdullah yang terkeluar, bererti Abdullah adalah anak yang harus dikorbankan. Abdul Muttalib terguris sedih kerana Abdullah merupakan anak yang paling dikasihi dan disayanginya. Abdullah seorang anak yang terbaik dengan sifat sopannya. Namun Abdul Muttalib tiada pilihan lain kecuali membawa Abdullah ke satu tempat di mana tradisi pengorbanan disempurnakan. Tempat itu terletak berhampiran dengan Telaga Zamzam antara berhala Isaf dan Naila.

     Semasa nazar pengorbanan hendak disempurnakan maka sekumpulan orang dari kaum Quraisy terutamanya bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya dari kalangan Bani Makhzum dan saudaranya Abu Talib membantah dengan berkata, “Demi Tuhan: janganlah anda meneruskan pengorbanan sebelum mendapat pandangan dari pihak lain mengenainya. Kalau beginilah tindakan tuan maka orang lain pun akan mengorbankan anak-anak mereka, apa akan jadi kepada masyarakat kita kelak?”

     Orang-orang Quraisy itu berserta anak-anak beliau meminta supaya Abdul Mutallib menemui seorang ahli tilik perempuan atau Kahinah bagi mendapatkan nasihat dan syarat-syarat menebus. Abdul Mutallib akur lalu menemui ahli tilik perempuan yang disebut sebagai Kahinah tadi, yang menentukan setiap satu undi yang jatuh kepada Abdullah itu akan ditebus dengan sepuluh ekor unta. Pembiayaan unta akan dikongsi sama oleh masyarakat kaum Quraish mengikut sejauh mana bilangan undi itu berakhir. Apabila dijalankan pengundian, nama Abdullah yang muncul jadi sepuluh ekor unta diperuntukkan begitulah seterusnya undian itu dijalankan sebanyak sepuluh kali berturut-turut, nama Abdullah jua yang muncul.


     Dengan sepuluh ekor unta setiap satu undi maka bilangan unta yang harus dijadikan tebusan meningkat hingga ke seratus ekor banyaknya. Bagi pengundian seterusnya iaitu kali yang kesebelas maka anak panah sebelah pihak unta pula muncul, dan dengan demikian berakhirlah kiranya tanggungan yang harus disempurnakan sebagai tebusan oleh Abdul Mutallib bagi Abdullah.

     Akan tetapi, Abdul Mutallib tidak berpuas hati dan meminta supaya undian sekali lagi dibuat. Manakala undian kali kedua belas dilakukan, masih anak panah unta juga yang muncul, dan bagi ketiga belas pun demikian juga halnya. Setelah tiga kali undian itu dijalankan, ternyata hanya anak panah unta yang muncul, barulah Abdul Muttalib merasa lega dan puas hati. Unta-unta itu disembelih sebagai ganti Abdullah. Abdul Muttalib telah meninggalkan unta yang disembelih tanpa menghalang siapa yang mahu mengambilnya sama ada manusia atau binatang buas. Bayaran diat di kalangan orang Arab ialah sepuluh ekor unta. Selepas peristiwa itu bayaran diat menjadi seratus ekor unta, dan ianya diperakui oleh Islam.

      Sikap yang tegas dalam memenuhi janji seumpama itu, memperkukuh ketokohannya sebagai seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa dan disegani. Peristiwa ini sesungguhnya memperlihatkan kudrat dan iradah Allah swt menentukan kelangsungan kehadiran Rasulullah SAW, dengan menyelamatkan Abdullah dari bangsa korban yang sia-sia. Menurut Ibnu Hisham dalam bukunya Rahmal li al-alamin menyatakan bahawa baginda Nabi s.a.w bersabda, “Aku adalah putera dua orang yang disembelih” yakni Ismail dan bapanya Abdullah.

     Abdul Muttalib memilih Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah Kilab untuk menjadi isteri anaknya Abdullah. Hasil perkongsian hidup Abdul Muttalib dan Aminah lahirlah Junjungan besar Rasulullah s.a.w. Apabila berita kelahiran Muhammad sampai kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan. Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib itu menceritakan kepada mereka akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.

     Semasa Muhammad bin Abdullah berumur enam tahun, ibunya Siti Aminah meninggal dunia. Muhammad Rasulullah SAW dibawa pulang ke Makkah oleh Ummu Aiman untuk diserahkan di bawah jagaan datuknya, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib hidupnya miskin walaupun seorang ketua penduduk Mekah, ini kerana hartanya dihabiskan memberi khidmat dan melayan tetamu-tetamu Kaabah. Abdul Muttalib begitu terharu mengenangkan nasib Muhammad Rasulullah SAW yang menjadi yatim piatu ekoran kehilangan kedua ibu bapanya. Keharuan itu bagaimanapun, terubat bila mengenangkan Muhammad SAW kini menggantikan Abdullah, anaknya yang amat disayangi itu, lalu tertumpahlah kasih sayang itu kepada Muhammad Rasulullah SAW dengan begitu besar.

     Kasih sayang Abdul Muttalib jelas kelihatan dalam penghidupan seharian yang terbukti antaranya membiarkan Muhammad Rasulullah SAW duduk atas hamparan yang khusus baginya selaku pemimpin utama kaum Quraisy. Hamparan itu dijauhi oleh anak-anaknya sendiri, kerana bagi mereka hamparan itu, tempat yang sangat mulia dan harus dihormati.

     Sewaktu anak-anak Muttalib melarang Muhammad Rasulullah SAW menduduki hamparan itu yang secara kebetulan beliau tiba lalu menegur mereka dan membawa Muhammad duduk bersama dengannya sambil berkata, “Biarkanlah dia duduk di sini, kerana dia akan menjadi pemimpin besar yang belum pernah dimiliki oleh bangsa Arab,” kata Abdul Mutallib. Sambil duduk, Abdul Muttalib menghelus-helus belakang Baginda dengan penuh kasih sayang dan melayani setiap karenahnya sebagai anak kecil. Muhammad sentiasa menemani datuknya Abdul Muttalib dalam majlis-majlisnya. Selama dua tahun Muhammad menghadiri semua majlis Abdul Muttalib yang sentiasa menerima kunjungan demi kunjungan daripada semua pembesar Arab.

     Baru satu tahun Muhammad Rasulullah SAW memperoleh perhatian dan kasih sayang dari datuknya, Abdul Muttalib tiba-tiba Allah saw menjemputnya ke alam Baqa, mengikut jejak kedua ibu bapanya yang telahpun berpulang lebih awal. Abdul Muttalib meninggal dunia dalam tahun Masihi 578, ketika berusia 85 tahun, dan baginda Rasulullah SAW sendiri baru mencapai umur lapan tahun ketika itu. Menurut al-Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri (2011) di dalam bukunya ‘Al-Rahiq al-Makhtum’, Abdul Muttalib meninggal ketika Nabi Muhammad berusia lapan tahun dua bulan sepuluh hari.



Disediakan oleh : 
Mohamad Fitri Bin Mohd Zahir & Muhamad Amirul Syafiq Bin Md. Yusuf
Pelajar PISMP Pendidikan Islam IPG Kampus Darulaman.




Rujukan:

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar

Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers




PIM 3106 : Kewafatan Bonda Rasulullah



       Abdul Muttalib memilih Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya Abdullah. Pada masa itu Aminah dianggap wanita Quraish yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari segi  hubungan nasab dan kemuliaan. Setelah itu tinggallah Abdullah dengan Aminah di Mekah.

Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan, “Aku berlindung kepada tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki.” Kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah atau mengikut pandangan ahli sejarah 50 hari selepas peristiwa tentera bergajah.

       Menurut Zulkifli Mohd Yusuff dan Noor Naemah Abd Rahman (2006), Siti Aminah ibu Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad dia tidak merasa penat ataupun sakit. Menurut catatan sejarah lagi, Muhammad dilahirkan keadaan sujud dan sudah berkhatan.

       Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpendam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi itu tertimbus.

       Apabila berita kelahiran ini sampai kepada pengetahuan Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.


      Dinyatakan di dalam buku “Biografi Muhammad Bin Abdullah, nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.

      Diringkaskan cerita, Halimah al-Sa’diyyah iaitu ibu susu Muhammad mengembalikannya ke pangkuan bondanya setelah bimbang dengan peristiwa pembelahan dada oleh malaikat Jibril.  Lewat satu tahun setelah Muhammad Rasulullah SAW di pangkuan bondanya, maka Aminah membawa Baginda ke Madinah untuk menziarahi kaum keluarga sebelah ayahandanya yang berketurunan Bani Najjar.  Maka tinggallah Muhammad bersama ibunya sehingga umurnya mencecah enam tahun. Lalu dia pun keluar dari Mekah mengenderai kenderaan sejauh lima ratus kilometer. Bersamanya turut dibawa anak yatimnya, Muhammad s.a.w dan pelayan wanitanya Ummu Ayman iaitu hamba yang diwarisi dari Abdullah. Rombongan mereka diketuai oleh Abd Muttalib.

      Di Yathrib, Aminah menunjukkan rumah di mana ayahandanya jatuh sakit dan dirawat sehingga beliau  menghembuskan nafasnya yang terakhir serta membawanya menziarahi kubur. Aminah juga menceritakan kepada Rasulullah tentang ketinggian budi dan perwatakannya, sehingga menjadi seorang yang dihormati dan disegani oleh masyarakat kaum Quraisy.  Setelah sebulan di Madinah, mereka pun beredar pulang.

      Dalam perjalanan pulang itu,  takdir menetukan bahawa Aminah tidak dapat mengasuh anakandanya, Muhammad Rasulullah lebih lama lagi kerana Aminah jatuh sakit, dan keadaannya semakin tenat semasa awal-awal perjalanan tersebut. Akhirnya dia meninggal dunia di Abwa’ iaitu sebuah daerah kecil yang terletak antara Mekah dan Madinah dan disini jualah Aminah dimakamkan pada tahun 577.

      Ketika itu, Muhammad Rasulullah SAW berusia enam tahun, terlalu kecil untuk memahami satu kematian namun kegelisahan menyelebungi jiwanya, kerana hari-hari muka akan dihadapi tanpa ayah dan ibu yang menjadi tunjang dan sandaran dalam mengharungi perjuangan hidup. Kisah ayahandanya, sebagaimana disampaikan oleh bundanya itu, menjadi ingatan sepanjang hayat Baginda Rasulullah SAW.




Disediakan oleh : 
Mohamad Fitri Bin Mohd Zahir & Muhamad Amirul Syafiq Bin Md. Yusuf
Pelajar PISMP Pendidikan Islam IPG Kampus Darulaman.


Rujukan:

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar

Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers

PIM 3106 : Kewafatan Ayah Rasulullah

       
       Abdullah, yang juga dikenali sebagai Abu Dar, dilahirkan dalam tahun Masehi 545, merupakan anak bongsu daripada sepuluh anak lelaki Abdul Muttalib. Abdullah seorang anak muda yang tampan dan memiliki keperibadian mulia sesuai dengan keturunannya dari suku kaum Quraisy, golongan yang dihormati oleh kabilah-kabilah Arab lainnya. Abdullah seorang anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttalib kerana beliau seorang yang bersopan-santun. Abdullah juga dikenali sebagai al-Dhabih (mangsa penyembelihan). Ini kerana beliau adalah mangsa nazar ayahnya, Abdul Muttalib yang bernazar akan mengorbankan anaknya jika mendapat sepuluh anak lelaki yang taat setia membantunya kelak sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran.


         Tatkala usianya cukup dewasa, ayahnya, Abdul Muttalib memperjodohkan Abdullah dengan Aminah, anak perempuan Wahab bin Abdu Manaf, tokoh Quraisy berjawatan tinggi dalam pentadbiran Makkah. Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah. Aminah merupakan wanita Quraish yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ketua Bani Zuhrah.

         Ketika Abdullah dibawa Abdul Muttalib ke rumah Wahab bin Abdu Manaf untuk dinikahkan dengan Aminah, seorang perempuan bernama Qatila, mengikuri Abdullah dengan pandangan yang tajam dari hadapan pintu rumahnya di Makkah. Tatkala Abdullah melintasinya, Qatila menegur, “Anda hendak ke mana?” “Ikut ayahku,” jawab Abdullah. “Begini,” kata Qatila, “aku sedia menggantikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh ayah anda, jika anda sanggup bersamaku,” katanya merujuk perbelanjaan Abdul Muttalib mengeluarkan 100 unta sebagai tebusan nyawanya. “Tidak, aku akan tetap ikut ayahku, dan kami tidak boleh berpisah,” tegas Abdullah.

        Abdullah merasa tersinggung dan malu kerana Qatila mengeluarkan kata-kata sedemikian di hadapan ayahnya sendiri, seorang yang amat dihormati dan disegani. Walaubagaimanapun, Abdullah meneruskan perjalanan, dengan sikap dan tindakan Qatila itu tetap mengganggu fikiran dan menjadi tandatanya.

        Abdullah dinikahkan pada hari yang berkenaan, dan tradisi Arab memerlukan Abdullah menginap di rumah pengantin perempuan selama tiga malam berturut-turut sebagai cara memesrakan hubungan pasangan pengantin baru. Satu hari sesudah itu, Abdullah meninggalkan rumah dan sewaktu diperjalanan bertemu semula dengan Qatila, tapi beliau merasa hairan melihatkan Qatila yang tidak sedikitpun menunjukkan minat kepadanya seperti tempoh hari.



“Mengapa anda tidak menegurku?” kata Abdullah.

“Anda siapa?” Tanya Qatila seolah-olah tidak 
mengenalinya.

“Abdullah bin Abdul Muttalib,” tegas Abdullah.

“Pada mulanya, anda mempunyai cahaya di antara 
kedua mata anda,” kata Qatila, “tapi kini cahaya itu 
sudah hilang.”

“Apa yang terjadi?” tanya Qatila. 

        Hakikatnya, hasrat utama Qatila terhadap Abdullah terdorong dari keinginannya menjadi seorang ibu yang bakal melahirkan seorang bayi yang akan menjadi nabi bagi umat manusia. Maklumat berkaitan itu diketahui melalui khabar yang disampaikan sendiri oleh abangnya, Waraqah bin Naufal, Rahib yang terkenal dan dihormati oleh penduduk Arab.

       “Demi Allah, aku tidak silap, cahaya yang bersinar itu, yang ingin aku miliki, kini sudah menyusup masuk ke dalam tubuh perempuan lain,” kata Qatila, “perempuan itu pastinya melahirkan seorang manusia teragung. Dengan kehilangan cahaya di dahi anda, membuat hatiku tidak lagi tertarik.”

        Ramalan Qatila itu menjadi kenyataan apabila Abdullah mendapati isterinya hamil, dan beliau menyedari hakikat kebenaran Qatila, bahawa anak yang akan dilahirkan itu akan menepati ramalan Qatila tadi.

       Lalu tinggallah Abdullah dengan Aminah di Mekah. Tidak lama selepas itu, Abdul Muttalib mengutuskan Abdullah untuk pergi ke Madinah bagi mendapatkan bekalan-bekalan untuk mereka. Di sana dia meninggal dunia. Menurut Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri dalam bukunya al-Rahiq al-Makhtum, Abdullah keluar untuk berdagang ke Syam, bersama rombongan perdagangan Quraish dan beliau singgah di Madinah lalu jatuh sakit dan meninggal di sana. Jenazahnya dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Jadi.

    Sayangnya, Abdullah tidak berpeluang menyambut kelahiran anaknya, kerana beliau wafat semasa Muhammad Rasulullah SAW masih dalam kandungan bondanya selama dua bulan. Beliau meninggal dunia ketika berumur 25 tahun, dengan meninggalkan seorang hamba wanita Habsyah yang bernama Barakah dan digelar Ummu Aiman, lima ekor unta dan sebilangan kambing ternakan untuk diwarisi oleh Aminah. Apabila berita kematiannya sampai ke Mekah, Aminah meratapinya dengan ungkapan-ungkapan syair yang menarik, katanya:

Hilang sudah putera Hashim di Batha
Bertandang lahad yang jauh dalam ratap tangis
Panggilan maut memanggil lantas disahutnya
Yang tidak meninggalkan seumpama putera Hashim di 
kalangan manusia
Petang hari mereka mengusung kerandanya
Oleh teman-teman yang berasak-asak
Jika benar kematian dan dukacita itu perampas dirinya
Namun dia tetap terpahat sebagai dermawan dan pengasih



Disediakan oleh : 
Mohamad Fitri Bin Mohd Zahir & Muhamad Amirul Syafiq Bin Md. Yusuf
Pelajar PISMP Pendidikan Islam IPG Kampus Darulaman.



Rujukan:

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar

Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...