Oleh : Mohamad Fitri Mohd
Zahir
Dari sudut
pandangan seorang muslim yang beriman, perkahwinan merupakan seruan dan sunnah
Rasulullah S.A.W bagi meramaikan umatnya bagi memperkuatkan barisan jentera
muslim dengan benih-benih yang soleh serta solehah bukannya bersifat kepada
keperluan seksualiti manusia semata-mata. Hal ini jelas dapat dilihat di dalam
salah satu ungkapan dari Saiyidina Umar bin Khattab.
Maksudnya : “Ketahuilah,
bahawa aku tidaklah mengahwini seorang wanita kerana syahwat, melainkan kerana
mengharapkan agar Allah memberi rezeki kepada jiwa-jiwa yang meng-Esakan
Allah..”
Falsafah
perkahwinan menurut islam
Pensyariaatan
pernikahan telah membuktikan islam mempunyai sistem yang sistematik dan teratur
bagi mengurus kehidupan masyarakat muslim berlandaskan prinsip-prinsip yang
telah digariskan berdasarkan dua sumber utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.
Prinsip-prinsip ini memberi jaminan kebahagian dalam komuniti kekeluargaan
meliputi segala aspek khususnya aspek kepeluan zahir dan batin manusia yang
telah semula jadi diciptakan oleh Allah. Seruan mengenai perkahwinan ini telah
dicatatkan dalam mushaf al-karim di dalam surah An-Nur 24 ayat 32 yang
bermaksud : “ dan kahwinkanlah orang-orang yang masih membujang diantara kamu,
dan juga orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki
dan perempuan... “. Sumber daripada hadis nabawi Riwayat Ahmad
pula menyaksikan tentang perkara yang hampir sama maksudnya dengan ayat Allah
ini yang telah dinyatakan, daripada Anas Ibnu Malik Radliyallaahu 'anhu berkata: Rasulullah
Shallallaahu 'alaihi wa Sallam memerintahkan kami berkeluarga dan sangat
melarang kami membujang. Beliau bersabda: "Nikahilah perempuan yang subur
dan penyayang, sebab dengan jumlahmu yang banyak aku akan berbangga di hadapan
para Nabi pada hari kiamat.".
Menyingkap tirai definisi
perkahwinan pula, nikah dari sudut lughah atau bahasa bermaksud himpun, kumpul
atau cantum. Manakala dari segi syarak, nikah adalah ikatan perkahwinan yang
menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan yang diharuskan untuk berkahwin.
Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah,
“Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku, ia
bukanlah daripada golonganku.. “
Sepertimana yang telah kita
sedia maklum, perkara yang paling utama sebelum melangkah ke gerbang
perkahwinan bagi seseorang insan yang beragama islam adalah mengetahui terlebih
dahulu perkara-perkara berkaitan dengan pernikahan antaranya rukun nikah. Rukun
nikah terbahagi kepada 5 iaitu calon suami, calon isteri, wali, saksi dan
sighah atau lafaz ijab dan kabul.
Kisah
Perkahwinan Puteri Nabi Dengan Sahabat Nabi
Pada suatu hari Abu Bakar As-Siddiq R.A, Umar Ibnul
Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama- sama Rasulullah SAW duduk dalam masjid
baginda. Perbincangan berlaku antara lain persoalan tentang puteri Rasulullah
SAW. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Siddiq R.A, “Apakah engkau
bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Talib?”
Abu Bakar As-Siddiq R.A menyatakan kesediaannya. Ia
berangkat untuk bertemu Saidina Ali R.A. Sewaktu Sayidina Ali melihat datangnya
Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tergopoh-gapah, ia menyambutnya dengan
terperanjat kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?”
Setelah duduk rehat sejenak, Saidina Abu Bakar segera
memperjelaskan persoalannya, “Wahai Ali, engkau adalah orang pertama yang
beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai lebih keutamaan dibandingkan
dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian juga engkau
adalah kerabat Rasulullah SAW. Beberapa orang Sahabat terkemuka telah
menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat mempersuntingkan puteri
baginda. Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda menyatakan bahawa
persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan tetapi, wahai Ali, apa
sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri baginda itu
dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan
Rasul-Nya akan menahan puteri itu untukmu.”
Mendengar berita dari Abu Bakar r.a itu, mata Sayidina
Ali r.a berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu, Sayidina Ali r.a berkata,
“Wahai Abu Bakar, engkau telah membuat hatiku yang tenang menjadi goncang.
Engkau telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah, aku memang
menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah
kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a terharu mendengar jawapan Sayidina Ali lalu
berkata, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan
Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu-debu bertaburan belaka!”
Setelah berlangsung dialog seterusnya, Abu Bakar r.a
berjaya mendorong keberanian Sayidina Ali r.a untuk melamar puteri Rasulullah
SAW. Beberapa waktu kemudian, Sayidina Ali r.a datang menghadap Rasulullah SAW
yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salamah. Mendengar pintu
diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah yang
mengetuk pintu?” Rasulullah menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia
orang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi Muhammad SAW itu belum dapat memuaskan
hati Ummu Salamah r.a. Ia bertanya lagi, “Ya, tetapi siapakah dia itu?” “Dia
saudaraku, orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW. Rasulullah mendahului
berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa
yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan kauperolehi
dariku!”
Mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, lahir
keberanian Ali bin Abi Talib untuk berkata, “Maafkanlah aku, ya Rasulullah.
Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari bapa saudara engkau,
Abu Talib dan ibu saudara engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih
kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi
hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah, adalah tempat
aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan Akhirat.
Setelah Allah membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah
tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk
melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah, apakah engkau berkenan
menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?”
Ummu Salamah membuka kisahnya: “Ketika itu kulihat
wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada
Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”
“Demi
Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui
bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui.
Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor
unta.”
“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah menanggapi
jawapan Ali bin Abi Talib, “Engkau tetap memerlukannya untuk meneruskan
perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu untuk keperluan
mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan
jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin
sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Wahai Ali, engkau
wajib bergembira, sebab Allah sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau
di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!”
Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan
hati gembira, dengan disaksikan oleh para Sahabat, Rasulullah mengucapkan
kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahawasanya Allah SWT memerintahkan
aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin 400 dirham (nilai sebuah
baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”
“Ya Rasulullah, itu kuterima dengan baik,” jawab Ali
bin Abi Talib dalam pernikahan itu. Demikianlah berlakunya pernikahan antara
dua orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW yakni puterinya, Siti
Fatimah dan Sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Sayidina Ali.
Rasulullah SAW mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.
Romantisnya
Nabi Muhammad
Candle
Light Dinner?? Mungkin sebahagian daripada kita yang berkahwin tahu tentang
maksud perkataan yang menjadi simbul romantik didalam sesebuah perhubungan.
Secara mudahnya, istilah ini merujuk kepada suatu tempat makan yang romantis,
mempunyai konsep nyalaan lilin yang tidak terlalu malap di persekitaran
tersebut. Suasana ini sengaja diwujudkan bagi menambah dan mengekal rasa kasih
dan sayang antara pasangan yang yang telah lama terjalin. Islam tidak pernah
melarang pasangan yang telah berkahwin melakukan sedemikian bahkan menggalakkan
perkara sedemikian disamping menjaga adab dan etika yang telah digariskan.
Daripada Aisyah RA berkata, “
aku pernah minum. Saat itu aku sedang haid. Kemudian aku memberikan minuman
tersebut kepada Nabi Muhammad (dari bekas yang sama), baginda menempelkan
mulutnya sama di tempat bekas aku minum, lalu baginda minum. Pernah pula aku
makan daging yang tersisa dari tulang dengan menggigitnya , sedangkan aku dalam
keadaan haid. Kemudian aku berikan daging itu kepada Rasulullah, lalu baginda
meletakkan mulutnya pada bekas mulutku.. “
-HR
Muslim No 800-
Tips
Memilih Calon
Rasulullah
SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara,
kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya.
Pilihlah wanita yang beragama, nescaya engkau akan selamat".
Dalam
hadis yang berlainan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sebaik-baik
wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira),
apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga
dirinya dan menjaga hartamu."
share2..~ :p :p
ReplyDeletesila2 ...
ReplyDeletealhamdulillah...hakikat kehidupan berumah tangga yg hakiki !!
ReplyDelete"Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."
ReplyDeleteTahniah atas artikel ini, moga perkahwinan akhi kelak akan memperoleh redha dan keberkatan dariNya. Moga perkahwinan suatu hari nanti juga akan dijadikan medium untuk mendekatkan diri kepada pencipta kita yang Maha Esa.
i.allah.. terima kasih atas doa....
ReplyDelete*cepat sikit.... :)