Abdullah, yang juga dikenali sebagai Abu Dar, dilahirkan dalam tahun Masehi 545, merupakan anak bongsu daripada sepuluh anak lelaki Abdul Muttalib. Abdullah seorang anak muda yang tampan dan memiliki keperibadian mulia sesuai dengan keturunannya dari suku kaum Quraisy, golongan yang dihormati oleh kabilah-kabilah Arab lainnya. Abdullah seorang anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttalib kerana beliau seorang yang bersopan-santun. Abdullah juga dikenali sebagai al-Dhabih (mangsa penyembelihan). Ini kerana beliau adalah mangsa nazar ayahnya, Abdul Muttalib yang bernazar akan mengorbankan anaknya jika mendapat sepuluh anak lelaki yang taat setia membantunya kelak sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran.
Tatkala usianya cukup dewasa, ayahnya, Abdul Muttalib memperjodohkan Abdullah dengan Aminah, anak perempuan Wahab bin Abdu Manaf, tokoh Quraisy berjawatan tinggi dalam pentadbiran Makkah. Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah. Aminah merupakan wanita Quraish yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ketua Bani Zuhrah.
Ketika Abdullah dibawa Abdul Muttalib ke rumah Wahab bin Abdu Manaf untuk dinikahkan dengan Aminah, seorang perempuan bernama Qatila, mengikuri Abdullah dengan pandangan yang tajam dari hadapan pintu rumahnya di Makkah. Tatkala Abdullah melintasinya, Qatila menegur, “Anda hendak ke mana?” “Ikut ayahku,” jawab Abdullah. “Begini,” kata Qatila, “aku sedia menggantikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh ayah anda, jika anda sanggup bersamaku,” katanya merujuk perbelanjaan Abdul Muttalib mengeluarkan 100 unta sebagai tebusan nyawanya. “Tidak, aku akan tetap ikut ayahku, dan kami tidak boleh berpisah,” tegas Abdullah.
Abdullah merasa tersinggung dan malu kerana Qatila mengeluarkan kata-kata sedemikian di hadapan ayahnya sendiri, seorang yang amat dihormati dan disegani. Walaubagaimanapun, Abdullah meneruskan perjalanan, dengan sikap dan tindakan Qatila itu tetap mengganggu fikiran dan menjadi tandatanya.
Abdullah dinikahkan pada hari yang berkenaan, dan tradisi Arab memerlukan Abdullah menginap di rumah pengantin perempuan selama tiga malam berturut-turut sebagai cara memesrakan hubungan pasangan pengantin baru. Satu hari sesudah itu, Abdullah meninggalkan rumah dan sewaktu diperjalanan bertemu semula dengan Qatila, tapi beliau merasa hairan melihatkan Qatila yang tidak sedikitpun menunjukkan minat kepadanya seperti tempoh hari.
“Mengapa anda tidak menegurku?” kata Abdullah.
“Anda siapa?” Tanya Qatila seolah-olah tidak
mengenalinya.
“Abdullah bin Abdul Muttalib,” tegas Abdullah.
“Pada mulanya, anda mempunyai cahaya di antara
kedua mata anda,” kata Qatila, “tapi kini cahaya itu
sudah hilang.”
“Apa yang terjadi?” tanya Qatila.
Hakikatnya, hasrat utama Qatila terhadap Abdullah terdorong dari keinginannya menjadi seorang ibu yang bakal melahirkan seorang bayi yang akan menjadi nabi bagi umat manusia. Maklumat berkaitan itu diketahui melalui khabar yang disampaikan sendiri oleh abangnya, Waraqah bin Naufal, Rahib yang terkenal dan dihormati oleh penduduk Arab.
“Demi Allah, aku tidak silap, cahaya yang bersinar itu, yang ingin aku miliki, kini sudah menyusup masuk ke dalam tubuh perempuan lain,” kata Qatila, “perempuan itu pastinya melahirkan seorang manusia teragung. Dengan kehilangan cahaya di dahi anda, membuat hatiku tidak lagi tertarik.”
Ramalan Qatila itu menjadi kenyataan apabila Abdullah mendapati isterinya hamil, dan beliau menyedari hakikat kebenaran Qatila, bahawa anak yang akan dilahirkan itu akan menepati ramalan Qatila tadi.
Lalu tinggallah Abdullah dengan Aminah di Mekah. Tidak lama selepas itu, Abdul Muttalib mengutuskan Abdullah untuk pergi ke Madinah bagi mendapatkan bekalan-bekalan untuk mereka. Di sana dia meninggal dunia. Menurut Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri dalam bukunya al-Rahiq al-Makhtum, Abdullah keluar untuk berdagang ke Syam, bersama rombongan perdagangan Quraish dan beliau singgah di Madinah lalu jatuh sakit dan meninggal di sana. Jenazahnya dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Jadi.
Sayangnya, Abdullah tidak berpeluang menyambut kelahiran anaknya, kerana beliau wafat semasa Muhammad Rasulullah SAW masih dalam kandungan bondanya selama dua bulan. Beliau meninggal dunia ketika berumur 25 tahun, dengan meninggalkan seorang hamba wanita Habsyah yang bernama Barakah dan digelar Ummu Aiman, lima ekor unta dan sebilangan kambing ternakan untuk diwarisi oleh Aminah. Apabila berita kematiannya sampai ke Mekah, Aminah meratapinya dengan ungkapan-ungkapan syair yang menarik, katanya:
Hilang sudah putera Hashim di Batha
Bertandang lahad yang jauh dalam ratap tangis
Panggilan maut memanggil lantas disahutnya
Yang tidak meninggalkan seumpama putera Hashim di
kalangan manusia
Petang hari mereka mengusung kerandanya
Oleh teman-teman yang berasak-asak
Jika benar kematian dan dukacita itu perampas dirinya
Namun dia tetap terpahat sebagai dermawan dan pengasih
Disediakan oleh :
Mohamad Fitri Bin Mohd Zahir & Muhamad Amirul Syafiq Bin Md. Yusuf
Pelajar PISMP Pendidikan Islam IPG Kampus Darulaman.
Rujukan:
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar
Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers
No comments:
Post a Comment