Islamic Widget

Wednesday, January 16, 2013

“Kahwin, aku datang ! “


Erti sebuah seruan agama


Oleh : Mohamad Fitri Mohd Zahir


Dari sudut pandangan seorang muslim yang beriman, perkahwinan merupakan seruan dan sunnah Rasulullah S.A.W bagi meramaikan umatnya bagi memperkuatkan barisan jentera muslim dengan benih-benih yang soleh serta solehah bukannya bersifat kepada keperluan seksualiti manusia semata-mata. Hal ini jelas dapat dilihat di dalam salah satu ungkapan dari Saiyidina Umar bin Khattab.
Maksudnya : “Ketahuilah, bahawa aku tidaklah mengahwini seorang wanita kerana syahwat, melainkan kerana mengharapkan agar Allah memberi rezeki kepada jiwa-jiwa yang meng-Esakan Allah..”

Falsafah perkahwinan menurut islam
Pensyariaatan pernikahan telah membuktikan islam mempunyai sistem yang sistematik dan teratur bagi mengurus kehidupan masyarakat muslim berlandaskan prinsip-prinsip yang telah digariskan berdasarkan dua sumber utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Prinsip-prinsip ini memberi jaminan kebahagian dalam komuniti kekeluargaan meliputi segala aspek khususnya aspek kepeluan zahir dan batin manusia yang telah semula jadi diciptakan oleh Allah. Seruan mengenai perkahwinan ini telah dicatatkan dalam mushaf al-karim di dalam surah An-Nur 24 ayat 32 yang bermaksud : “ dan kahwinkanlah orang-orang yang masih membujang diantara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan... “. Sumber daripada hadis nabawi Riwayat Ahmad pula menyaksikan tentang perkara yang hampir sama maksudnya dengan ayat Allah ini yang telah dinyatakan, daripada Anas Ibnu Malik Radliyallaahu 'anhu berkata: Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam memerintahkan kami berkeluarga dan sangat melarang kami membujang. Beliau bersabda: "Nikahilah perempuan yang subur dan penyayang, sebab dengan jumlahmu yang banyak aku akan berbangga di hadapan para Nabi pada hari kiamat.".
                Menyingkap tirai definisi perkahwinan pula, nikah dari sudut lughah atau bahasa bermaksud himpun, kumpul atau cantum. Manakala dari segi syarak, nikah adalah ikatan perkahwinan yang menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan yang diharuskan untuk berkahwin. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, “Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku, ia bukanlah daripada golonganku.. “
                Sepertimana yang telah kita sedia maklum, perkara yang paling utama sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan bagi seseorang insan yang beragama islam adalah mengetahui terlebih dahulu perkara-perkara berkaitan dengan pernikahan antaranya rukun nikah. Rukun nikah terbahagi kepada 5 iaitu calon suami, calon isteri, wali, saksi dan sighah atau lafaz ijab dan kabul. 

Kisah Perkahwinan Puteri Nabi Dengan Sahabat Nabi

Pada suatu hari Abu Bakar As-Siddiq R.A, Umar Ibnul Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama- sama Rasulullah SAW duduk dalam masjid baginda. Perbincangan berlaku antara lain persoalan tentang puteri Rasulullah SAW. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Siddiq R.A, “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Talib?”
Abu Bakar As-Siddiq R.A menyatakan kesediaannya. Ia berangkat untuk bertemu Saidina Ali R.A. Sewaktu Sayidina Ali melihat datangnya Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tergopoh-gapah, ia menyambutnya dengan terperanjat kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?”
Setelah duduk rehat sejenak, Saidina Abu Bakar segera memperjelaskan persoalannya, “Wahai Ali, engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai lebih keutamaan dibandingkan dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian juga engkau adalah kerabat Rasulullah SAW. Beberapa orang Sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat mempersuntingkan puteri baginda. Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda menyatakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan tetapi, wahai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan Rasul-Nya akan menahan puteri itu untukmu.”
Mendengar berita dari Abu Bakar r.a itu, mata Sayidina Ali r.a berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu, Sayidina Ali r.a berkata, “Wahai Abu Bakar, engkau telah membuat hatiku yang tenang menjadi goncang. Engkau telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a terharu mendengar jawapan Sayidina Ali lalu berkata, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu-debu bertaburan belaka!”
Setelah berlangsung dialog seterusnya, Abu Bakar r.a berjaya mendorong keberanian Sayidina Ali r.a untuk melamar puteri Rasulullah SAW. Beberapa waktu kemudian, Sayidina Ali r.a datang menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah yang mengetuk pintu?” Rasulullah menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi Muhammad SAW itu belum dapat memuaskan hati Ummu Salamah r.a. Ia bertanya lagi, “Ya, tetapi siapakah dia itu?” “Dia saudaraku, orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW. Rasulullah mendahului berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan kauperolehi dariku!”
Mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, lahir keberanian Ali bin Abi Talib untuk berkata, “Maafkanlah aku, ya Rasulullah. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari bapa saudara engkau, Abu Talib dan ibu saudara engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah, adalah tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan Akhirat. Setelah Allah membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah, apakah engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?”
Ummu Salamah membuka kisahnya: “Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”

“Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah menanggapi jawapan Ali bin Abi Talib, “Engkau tetap memerlukannya untuk meneruskan perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu untuk keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Wahai Ali, engkau wajib bergembira, sebab Allah sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!”
Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira, dengan disaksikan oleh para Sahabat, Rasulullah mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahawasanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin 400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”
“Ya Rasulullah, itu kuterima dengan baik,” jawab Ali bin Abi Talib dalam pernikahan itu. Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW yakni puterinya, Siti Fatimah dan Sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Sayidina Ali. Rasulullah SAW mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.

Romantisnya Nabi Muhammad
                Candle Light Dinner?? Mungkin sebahagian daripada kita yang berkahwin tahu tentang maksud perkataan yang menjadi simbul romantik didalam sesebuah perhubungan. Secara mudahnya, istilah ini merujuk kepada suatu tempat makan yang romantis, mempunyai konsep nyalaan lilin yang tidak terlalu malap di persekitaran tersebut. Suasana ini sengaja diwujudkan bagi menambah dan mengekal rasa kasih dan sayang antara pasangan yang yang telah lama terjalin. Islam tidak pernah melarang pasangan yang telah berkahwin melakukan sedemikian bahkan menggalakkan perkara sedemikian disamping menjaga adab dan etika yang telah digariskan.
                Daripada Aisyah RA berkata, “ aku pernah minum. Saat itu aku sedang haid. Kemudian aku memberikan minuman tersebut kepada Nabi Muhammad (dari bekas yang sama), baginda menempelkan mulutnya sama di tempat bekas aku minum, lalu baginda minum. Pernah pula aku makan daging yang tersisa dari tulang dengan menggigitnya , sedangkan aku dalam keadaan haid. Kemudian aku berikan daging itu kepada Rasulullah, lalu baginda meletakkan mulutnya pada bekas mulutku.. “                                                                                                                          -HR Muslim No 800- 

Tips Memilih Calon
                Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya engkau akan selamat".
Dalam hadis yang berlainan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."

5 comments:

  1. alhamdulillah...hakikat kehidupan berumah tangga yg hakiki !!

    ReplyDelete
  2. "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."

    Tahniah atas artikel ini, moga perkahwinan akhi kelak akan memperoleh redha dan keberkatan dariNya. Moga perkahwinan suatu hari nanti juga akan dijadikan medium untuk mendekatkan diri kepada pencipta kita yang Maha Esa.

    ReplyDelete
  3. i.allah.. terima kasih atas doa....
    *cepat sikit.... :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...