Abdul Muttalib ialah cicit kepada Qusai bin Kilab, tokoh Quraisy pertama mengawal dan menguasai Makkah, dan nasab keturunan Abdul Muttalib adalah seperti berikut Abdul Muttalib bin Hashim bin Abi Manaf bin Qusai bin Kilab. Nama sebenar Abdul Muttalib ialah Shaybah (uban), kerana rambut putih yang terdapat pada kepalanya. Beliau merupakan pemimpin dan ketua kaum Quraisy yang dihormati dan disegani oleh masyarakat Arab, kerana iltizamnya dalam menjalankan tugas dengan adil, di samping keperibadiaanya yang terpuji.
Abdul Muttalib tidak terlibat dengan amalan menyembah berhala, sekalipun amalan itu sudah meluas dilakukan oleh masyarakat Arab di Makkah, yang terdiri dari berbagai suku kaum dan kabilah termasuk kaum Quraisy sendiri. Abdul Muttalib mempunyai anak seramai 16 orang iaitu anak lelaki seramai 10 orang sementara anak perempuannya ialah 6 orang. Anak lelaki Abdul Muttalib terdiri dari Hamzah, Al-Abbas, Abu Talib, Al-Zubair, Al-Maqwa, Dhirar, Hajl, Abu Lahab, al-Harith dan Abdullah iaitu ayahanda Rasulullah SAW. Anak perempuannya ialah Atikah, Umaimah, al-Baidha’ Birrah, Sofiah dan Arwa.
Antara peristiwa yang terpenting yang berlaku kepada Abdul Muttalib ialah dua peristiwa iaitu menggali telaga Zamzam dan peristiwa serangan tentera bergajah. Ringkasan peristiwa pertama, sewaktu kaum Jurhum meninggalkan Makkah akibat tertewas dalam satu rebutan kuasa, mereka menimbus Telaga Zamzam supaya kaum Khuzaah yang mengambil alih kuasa tidak mengetahui wujudnya sumber air di situ. Sesudah lama tertimbus, Abdul Mutallib mengetahui letaknya telaga Zamzam dan berjaya menggalinya semula natijah dari sebuah mimpi yang dialaminya.
Semasa menggali semula Telaga Zamzam itu, Abdul Muttalib membuat nazar iaitu sekiranya beliau dikurniakan 10 orang anak lelaki yang taat setia membantunya kelak, salah seorang daripada anaknya itu akan dikorbankan sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran. Dengan takdir Allah, Abdul Muttalib dikurniakan 10 orang anak lelaki kemudiannya maka beliau terwajib menyempurnakan nazar itu. Beliau memanggil kesepuluh anak lelakinya, dan memaklumkan mengenai tindakan yang harus dilakukan iaitu memilih salah seorang dari mereka untuk dikorbankan, sebagai memenuhi tanggungjawab menyempurnakan nazarnya.
Memahami beban yang ditanggung oleh ayah mereka maka anak-anak itu akur dan bersedia supaya salah seorang dari mereka dikorbankan. Abdul Muttalib menemui seorang pengawal Kaabah, yang di dalamnya terdapat berhala Hubal, dan dinasihatkan supaya undian secara kidah dilakukan. Sepuluh anak panah disediakan dengan setiap satunya tertulis nama anak lelakinya itu untuk diundi.
Lalu ditulislah nama-nama mereka pada anak panah dan diberikan kepada penjaga berhala Hubal. Nama yang terkeluar dari undian itu merupakan penentuan anak yang harus dikorbankan. Apabila undi dijalankan, nama Abdullah yang terkeluar, bererti Abdullah adalah anak yang harus dikorbankan. Abdul Muttalib terguris sedih kerana Abdullah merupakan anak yang paling dikasihi dan disayanginya. Abdullah seorang anak yang terbaik dengan sifat sopannya. Namun Abdul Muttalib tiada pilihan lain kecuali membawa Abdullah ke satu tempat di mana tradisi pengorbanan disempurnakan. Tempat itu terletak berhampiran dengan Telaga Zamzam antara berhala Isaf dan Naila.
Semasa nazar pengorbanan hendak disempurnakan maka sekumpulan orang dari kaum Quraisy terutamanya bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya dari kalangan Bani Makhzum dan saudaranya Abu Talib membantah dengan berkata, “Demi Tuhan: janganlah anda meneruskan pengorbanan sebelum mendapat pandangan dari pihak lain mengenainya. Kalau beginilah tindakan tuan maka orang lain pun akan mengorbankan anak-anak mereka, apa akan jadi kepada masyarakat kita kelak?”
Orang-orang Quraisy itu berserta anak-anak beliau meminta supaya Abdul Mutallib menemui seorang ahli tilik perempuan atau Kahinah bagi mendapatkan nasihat dan syarat-syarat menebus. Abdul Mutallib akur lalu menemui ahli tilik perempuan yang disebut sebagai Kahinah tadi, yang menentukan setiap satu undi yang jatuh kepada Abdullah itu akan ditebus dengan sepuluh ekor unta. Pembiayaan unta akan dikongsi sama oleh masyarakat kaum Quraish mengikut sejauh mana bilangan undi itu berakhir. Apabila dijalankan pengundian, nama Abdullah yang muncul jadi sepuluh ekor unta diperuntukkan begitulah seterusnya undian itu dijalankan sebanyak sepuluh kali berturut-turut, nama Abdullah jua yang muncul.
Dengan sepuluh ekor unta setiap satu undi maka bilangan unta yang harus dijadikan tebusan meningkat hingga ke seratus ekor banyaknya. Bagi pengundian seterusnya iaitu kali yang kesebelas maka anak panah sebelah pihak unta pula muncul, dan dengan demikian berakhirlah kiranya tanggungan yang harus disempurnakan sebagai tebusan oleh Abdul Mutallib bagi Abdullah.
Akan tetapi, Abdul Mutallib tidak berpuas hati dan meminta supaya undian sekali lagi dibuat. Manakala undian kali kedua belas dilakukan, masih anak panah unta juga yang muncul, dan bagi ketiga belas pun demikian juga halnya. Setelah tiga kali undian itu dijalankan, ternyata hanya anak panah unta yang muncul, barulah Abdul Muttalib merasa lega dan puas hati. Unta-unta itu disembelih sebagai ganti Abdullah. Abdul Muttalib telah meninggalkan unta yang disembelih tanpa menghalang siapa yang mahu mengambilnya sama ada manusia atau binatang buas. Bayaran diat di kalangan orang Arab ialah sepuluh ekor unta. Selepas peristiwa itu bayaran diat menjadi seratus ekor unta, dan ianya diperakui oleh Islam.
Sikap yang tegas dalam memenuhi janji seumpama itu, memperkukuh ketokohannya sebagai seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa dan disegani. Peristiwa ini sesungguhnya memperlihatkan kudrat dan iradah Allah swt menentukan kelangsungan kehadiran Rasulullah SAW, dengan menyelamatkan Abdullah dari bangsa korban yang sia-sia. Menurut Ibnu Hisham dalam bukunya Rahmal li al-alamin menyatakan bahawa baginda Nabi s.a.w bersabda, “Aku adalah putera dua orang yang disembelih” yakni Ismail dan bapanya Abdullah.
Abdul Muttalib memilih Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah Kilab untuk menjadi isteri anaknya Abdullah. Hasil perkongsian hidup Abdul Muttalib dan Aminah lahirlah Junjungan besar Rasulullah s.a.w. Apabila berita kelahiran Muhammad sampai kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan. Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib itu menceritakan kepada mereka akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.
Semasa Muhammad bin Abdullah berumur enam tahun, ibunya Siti Aminah meninggal dunia. Muhammad Rasulullah SAW dibawa pulang ke Makkah oleh Ummu Aiman untuk diserahkan di bawah jagaan datuknya, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib hidupnya miskin walaupun seorang ketua penduduk Mekah, ini kerana hartanya dihabiskan memberi khidmat dan melayan tetamu-tetamu Kaabah. Abdul Muttalib begitu terharu mengenangkan nasib Muhammad Rasulullah SAW yang menjadi yatim piatu ekoran kehilangan kedua ibu bapanya. Keharuan itu bagaimanapun, terubat bila mengenangkan Muhammad SAW kini menggantikan Abdullah, anaknya yang amat disayangi itu, lalu tertumpahlah kasih sayang itu kepada Muhammad Rasulullah SAW dengan begitu besar.
Kasih sayang Abdul Muttalib jelas kelihatan dalam penghidupan seharian yang terbukti antaranya membiarkan Muhammad Rasulullah SAW duduk atas hamparan yang khusus baginya selaku pemimpin utama kaum Quraisy. Hamparan itu dijauhi oleh anak-anaknya sendiri, kerana bagi mereka hamparan itu, tempat yang sangat mulia dan harus dihormati.
Sewaktu anak-anak Muttalib melarang Muhammad Rasulullah SAW menduduki hamparan itu yang secara kebetulan beliau tiba lalu menegur mereka dan membawa Muhammad duduk bersama dengannya sambil berkata, “Biarkanlah dia duduk di sini, kerana dia akan menjadi pemimpin besar yang belum pernah dimiliki oleh bangsa Arab,” kata Abdul Mutallib. Sambil duduk, Abdul Muttalib menghelus-helus belakang Baginda dengan penuh kasih sayang dan melayani setiap karenahnya sebagai anak kecil. Muhammad sentiasa menemani datuknya Abdul Muttalib dalam majlis-majlisnya. Selama dua tahun Muhammad menghadiri semua majlis Abdul Muttalib yang sentiasa menerima kunjungan demi kunjungan daripada semua pembesar Arab.
Baru satu tahun Muhammad Rasulullah SAW memperoleh perhatian dan kasih sayang dari datuknya, Abdul Muttalib tiba-tiba Allah saw menjemputnya ke alam Baqa, mengikut jejak kedua ibu bapanya yang telahpun berpulang lebih awal. Abdul Muttalib meninggal dunia dalam tahun Masihi 578, ketika berusia 85 tahun, dan baginda Rasulullah SAW sendiri baru mencapai umur lapan tahun ketika itu. Menurut al-Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri (2011) di dalam bukunya ‘Al-Rahiq al-Makhtum’, Abdul Muttalib meninggal ketika Nabi Muhammad berusia lapan tahun dua bulan sepuluh hari.
Disediakan oleh :
Mohamad Fitri Bin Mohd Zahir & Muhamad Amirul Syafiq Bin Md. Yusuf
Pelajar PISMP Pendidikan Islam IPG Kampus Darulaman.
Rujukan:
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar
Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers